Thursday 1 December 2011

Mewujudkan Dorongan Belajar Melalui Minat Untuk Belajar



Mewujudkan dorongan belajar di kalangan anak-anak seringkali menjadi masalah utama kepada ibubapa. Satu perkara yang perlu anda sedari sebagai ibubapa adalah tidak ada perkara yang lebih penting bagi setiap anak selain daripada perhatian dan penglibatan ibubapanya dalam setiap perkara baik yang dilakukannya.Perhatian dan penglibatan 100 peratus anda di dalam pembelajaran anak-anak akan menjadi dorongan kepada mereka dan menimbulkan kesedaran tentang pentingnya belajar. Dorongan dan minat adalah faktor terpenting dalam mempraktikkan cara belajar berkesan.Bagaimana anda boleh melakukannya? Teliti 3 perkara yang berikut;

1. Kehadiran ibubapa di sesi pembelajaran di rumah

Ketika sesi pembelajaran berlangsung di rumah, ibubapa atau salah seorang daripada anda perlu berada sepenuh masa bersama anak-anak yang sedang belajar.

Ini membantu mengelakkan anak-anak terganggu dan hilang tumpuan. Anda dapat mengawasi setiap aktiviti dengan lebih berkesan dan mewujudkan pembelajaran produktif melalui penggunaan masa yang berkualiti

Mereka mudah bertanya atau merujuk tentang perkara yang tidak difahami kepada anda. Anak-anak tidak perlu memanggil si ibu yang berada di dapur atau si ayah yang sedang asyik menonton pertandingan bolasepak di kaca televisyen umpamanya.

Dengan sokongan yang sepenuhnya daripada anda, mereka akan menjadi lebih bersemangat untuk melakukan ulangkaji atau kerjarumah dengan bersunguh-sungguh.

2. Jadikan masa belajar waktu yang dinanti-nantikan oleh semua ahli keluarga

Dapatkan kerjasama daripada setiap ahli keluarga untuk melakukan perkara yang berkaitan dengan pembelajaran sahaja ketika sesi belajar berjalan. Sedikit pengorbanan perlu dilakukan oleh ahli keluarga yang ingin menonton program kesukaan mereka di televisyen.

Anak-anak akan merasa lebih teruja dan lebih bersedia untuk menjalani sesi pembelajaran kerana perhatian semua ahli keluarga akan tertumpu ke situ.

Menjadikan sesi pembelajaran sebagai agenda utama keluarga akan menanamkan sikap mengutamakan pelajaran lebih daripada hiburan dan menghargai masa dengan melakukan perkara penting dan berfedah terlebih dahulu.

3. Hubungkaitkan perkara yang dipelajari dengan situasi sebenar dalam kehidupan

Terangkan kepada anak-anak tentang kegunaan perkara yang dipelajari dalam kehidupan seharian. Pastikan perkara yang berlaku itu dirujuk kembali kepada subjek yang telah dipelajari.

Umpamanya bagi mata pelajaran sains, contoh micro organisma tidak dapat hidup tanpa oksigen adalah barang makanan akan tahan lebih lama dalam petisejuk kerana micro organisma menjadi tidak aktif dan tidak membiak dengan tiadanya oksigen di dalam petisejuk.

Dengan menghayati secara praktikal mereka akan mendapat gambaran yang lebih jelas tentang satu-satu subjek. Ini menjadikan mereka lebih mudah memahami dan mengingati perkara yang dipelajari.

Ia juga akan menimbulkan rasa ingin tahu dan mendorong mereka melakukan eksplorasi untuk mengetahui lebih lanjut tentang topik yang dipelajari. Ini melatih otak mereka berfikir secara kritikal.

Perhatian dan penglibatan anda sebagai ibubapa adalah faktor terpenting yang menjadi dorongan belajar kepada anak-anak untuk melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan penuh minat.

~Dah Baca,Jangan Malu,Jangan Segan Pulak Nak Komen~

No comments:

Post a Comment